AKADEMI MOMTAZZ

CADANGAN PERMOHONAN DANA BANTUAN BAGI PEMBINAAN PEMBANGUNAN KOMPLEKS AKADEMI MOMTAZZ

PENDAHULUAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Segala puji tertentu bagi ALLAH Subhanahu Wata’ala yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan bagi Nya (pula) segala puji di akhirat, dan Dialah saja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuan Nya. Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, semulia-mulia kejadian. Demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala sehingga ke hari kebangkitan.

Kewujudan AKADEMI MOMTAZZ merupakan sebahagian usaha suci murni serta niat keikhlasan hati dalam melanjutkan untaian tali dakwah Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam di dalam menyebarkan serta mengamalkan isi kandung Al-Quran. Bermula dengan inspirasi untuk melahirkan Generasi Al-Quran dengan menerapkan ilmu serta akhlak berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam hidup berjalan seiring dengan aktiviti kehidupan seharian. Al-Quran adalah petunjuk tuntunan hidup yang di dalamnya mengandungi hukum-hukum yang mengikat dan wajib untuk ditegakkan. Cara penerapan dan penyebarluasannya mengikuti teladan dari Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam.

Sumber kewangan merupakan aspek terpenting bagi memastikan kelangsungan sesebuah institusi tahfiz agar terus dapat bertahan. Mempunyai sumber kewangan yang sangat terhad terutamanya Maahad Tahfiz swasta yang tidak mendapat bantuan kerajaan dan mengharapkan sumbangan orang ramai serta korporat dari semasa ke semasa atau mengikut keperluan. Kebanyakkan institusi tahfiz persendirian di Malaysia harus berjuang sendiri untuk mencari dana bagi membiayai operasi pengurusan dan kebanyakannya berada dalam keadaan dhaif atau kurang sempurna.

Melihatkan pada fenomena ini, MOMTAZZ mengambil inisiatif mewujudkan Tabung Dana Pembangunan AKADEMI MOMTAZZ bagi membantu pembangunan MOMTAZZ di dalam menyediakan prasarana yang lengkap untuk memberikan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif.

Kami dengan penuh harapan memohon para penderma tidak kira individu atau syarikat boleh bersama-sama menyumbang kepada kami bagi mencapai hasrat kami untuk melahirkan Generasi Al-Quran yang berketrampilan dan istiqamah dalam landasan AL-Quran dan As-Sunnah. InsyaAllah.

Wassalamu’alaikum Wr.Wb.

PEMBANGUNAN MOMTAZZ

Kompleks MOMTAZZ ini adalah kesinambungan kepada PUSAT ISLAM AKADEMI MOMTAZZ yang sekarang ini terletak di sebuah premis yang beralamat di No. 13A, Jalan TPS 2/2B, Taman Pelangi Semenyih 2, 43500, Semenyih, Selangor Darul Ehsan. Mempunyai bilangan pelajar separuh masa dan sepenuh masa yang tinggal di asrama yang berumur diantara 7 tahun sehingga 17 tahun. Seramai 20 orang pelajar yang mana majoritinya adalah terdiri daripada latarbelakang keluarga miskin dan asnaf. Pelajar dewasa dan warga emas pula terdiri lebih daripada 60 orang lelaki dan wanita.

Sumber pembiayaan aktiviti serta pengurusan di MOMTAZZ sehingga saat ini hanyalah bergantung daripada yuran pelajar serta sumbangan derma daripada badan-badan korporat, orang perseorangan,  sukarelawan dan masyarakat sekitar.

Mengingati latar belakang di atas, MOMTAZZ akan terus berusaha mengembangkan sayap untuk membangunkan kompleks Institusi Pengajian Al-Quran sendiri agar mampu berfungsi secara efektif sebagai pusat dakwah islam dan pendidikan kecemerlangan ummah. Tujuan pembinaan institusi ini adalah bagi menampung permintaan dan jumlah pelajar yang semakin meningkat serta mewujudkan prasarana terancang yang lengkap untuk memberikan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif.

Tabung Dana Pembangunan MOMTAZZ diwujudkan agar dapat disalurkan kepada aktiviti-aktiviti seperti :

  • Pembelian tapak tanah. (memerlukan kawasan seluas 1.5 ekar – 3.0 ekar)
  • Pembinaan kompleks yang terdiri daripada Surau, bangunan asrama, bangunan pengajian, bangunan pentadbiran, rumah tazkiah warga emas dan kuarters   kakitangan. (rujuk lampiran : Pembangunan Kompleks MOMTAZZ)
  • Pembelian kemudahan pengangkutan untuk para pelajar (kereta/van).
  • Perbelanjaan bulanan termasuk gaji tenaga pengajar, kakitangan maahad, operasi dan penyelenggaraan kompleks maahad yang dianggarkan sebanyak RM10,000 –   RM20,000 / sebulan.

Selain Tabung Dana Pembangunan, kami juga membuka peluang kepada para dermawan untuk menaja pelajar yang terdiri daripada anak-anak yatim dan miskin. Kos sebanyak RM5,500 / setahun bagi seorang pelajar adalah termasuk yuran, asrama, aktiviti, dobi, makan/minum dan sebagainya.

Akhir kata sama-samalah kita berdoa kepada Allah Subhanahu Wata’ala agar kita diberi kekuatan didalam usaha mendirikan kompleks AKADEMI MOMTAZZ ini serta dipermudahkan segala urusan baik dari segi urusan kelulusan pihak berkuasa, kewangan, pembinaan serta mendapat kerjasama yang erat dari semua pihak.

PEMBANGUNAN KOMPLEKS MOMTAZZ

SUMBER KEWANGAN PEMBINAAN

Jawatankuasa penubuhan MOMTAZZ telah merancang di mana untuk mendirikan kompleks MOMTAZZ ini memerlukan peruntukan berperingkat. Sebanyak lebih kurang RM 3 juta diperlukan bagi kos pembinaan pada peringkat fasa pertama.

Jawatankuasa penubuhan MOMTAZZ juga telah menubuhkan Darul Ulum Ibnu Sina Centre sebagai pengurus projek yang akan memastikan segala urusan yang berkaitan seperti pengumpulan dana, pendaftaran, kelulusan dari pihak berkuasa, pembangunan dan sebagainya dapat dilaksanakan dan diurustabir dengan lancar dan sempurna.

Sehubung dengan itu segala sumbangan daripada dermawan budiman amat dialu-alukan dan kami ucapkan ‘Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza’ .

KOMPONEN PEMBANGUNAN

Komponen cadangan pembangunan di AKADEMI MOMTAZZ terdiri daripada 3 zon.

ZON 1 BANGUNAN PENTADBIRAN MOMTAZZ - Dewan Serbaguna, Surau, Kantin / Dewan Makan, Kuarters Kakitangan
ZON 2 PUSAT ISLAM AKADEMI MOMTAZZ - Dewan Pengajian, Asrama Pelajar
ZON 3 RUMAH TAZKIAH WARGA EMAS MOMTAZZ - Dewan Pengajian, Rumah Tumpangan Warga Emas

KOMPONEN PEMBINAAN (FASA 1)

PELAN CADANGAN KOMPLEKS MOMTAZZ (OPTION 1)

OPTION 1 – Susunatur layout di tanah berkeluasan 1.5 ekar

ILUSTRASI KOMPLEKS MOMTAZZ

PELAN CADANGAN KOMPLEKS MOMTAZZ (OPTION 2)

OPTION 2 – Susunatur layout di tanah berkeluasan 4.5 ekar

ILUSTRASI KOMPLEKS MOMTAZZ

PENUTUP

Pembangunan dan kemajuan umat Islam adalah tanggungjawab semua. Justeru itu, penglibatan semua pihak adalah amat perlu dalam menentukan agenda pendidikan Islam terlaksana sepenuhnya. Adalah amat diharapkan agar segala usaha yang dilakukan oleh pihak Jawatankuasa penubuhan AKADEMI MOMTAZZ ini akan berfungsi sebagai satu institusi pembentuk generasi ummah yang bertaqwa, menerima sokongan yang jitu dari seluruh lapisan masyarakat.

Dengan adanya strategi, konsep dan perancangan pembangunan AKADEMI MOMTAZZ, maka kami amat memerlukan sumbangan dari setiap orang mahupun badan korporat. Ini adalah untuk memastikan pembinaan Kompleks MOMTAZZ ini dapat berjalan dengan lancar dan berjaya. Kewujudan AKADEMI ini dapat meningkatkan lagi syiar Islam dalam mendidik pembangunan rohani penuntut ilmu seimbang dengan kehidupan syariat.

Moga-moga pembinaan AKADEMI ini akan terus berjalan dengan lancar hasil sumbangan dari semua pihak. Adalah didoakan juga semoga segala bantuan dan sumbangan yang diberi akan dianugerahkan Allah dengan sebesar-besar ganjaran, baik di dunia mahupun di akhirat.

INSYAALLAH.

TERIMA KASIH

Salam takzim daripada
seluruh warga kerja AKADEMI MOMTAZZ

Do NOT follow this link or you will be banned from the site! Scroll to Top